Bengkang ubi atau di pantai timur dipanggil bengkang ubi kayu, merupakan sejenis kuih bingka yang diperbuat daripada ubi kayu. Kuih tradisi ini menggunakan bahan tempatan sepenuhnya. Resepi Bengkang Ubi Kayu yang sedap dan mudah dibuat.
Kuih ini menggunakan ubi kayu yang disagat, tanpa campuran bahan lain seperti tepung. Seperti biasa bahan utama yang lain ialah santan, penggunaan santan dalam masakan kuih traditional memang dah tak asing lagi kerana santan akan memberi rasa lemak pada kuih.
Ubi kayu sentiasa menjadi makanan pilihan apabila berlaku masalah mendapatkan bekalan makanan ketika musim tengkujuh atau semasa bencana. Walaupun sekarang mudah sahaja mendapatkan bekalan makanan lain, tetap akan menjadi hidangan pilihan pada musim hujan.
Ubi kayu bukan sahaja sedap dibuat kuih, malah sedap direbus dan dibakar juga. Makan pula dengan kelapa parut yang dicampur dengan garam dan gula, memang inilah makanan yang akan teringin nak makan pada musim hujan.
Ubi kayu perlu disagat terlebih dahulu untuk mendapatkan tekstur yang halus, boleh juga diblend terus dalam blender dan hasilnya akan lebih halus. Resepi kuih traditional ini telah dikongsi oleh Fifa Ayu dan mendapat kongsian yang banyak di facebook.
RESEPI BENGKANG UBI KAYU
Ubi kayu juga perlu dipilih dengan betul kerana takut bila dimasak tidak empuk. Pilih ubi kayu yang mempunyai lapisan kulit dalam yang berwarna merah jambu berbanding mempunyai lapisan kulit yang berwarna putih.
Bahan-bahan yang diperlukan :
- 4 cawan penuh ubi kayu parut atau kisar
- 1 cawan santan pekat
- 1 cawan air
- 1 cawan gula
- 1 sudu teh garam
- Beberapa titik pewarna kuning
- 2 sudu besar marjerin atau butter yang dicairkan
CARA-CARA PENYEDIAAN BENGKANG UBI KAYU
▶️ Mula-mula kupas ubi kayu sehingga licin, parut atau kisar ubi kayu untuk mendapatkan isi yang hancur. Tak perlu tapis atau perah, boleh terus gunakan airnya.
▶️ Sukat 4 cawan penuh ubi dan masukkan dalam bekas, larutkan dengan air, santan, gula, garam dan pewarna kuning dan kacau sehingga sebati.
▶️ Kalau guna santan kotak boleh masukkan 2 sudu besar marjerin atau butter yang dicairkan. Kacau sebati.
▶️ Selepas itu, aduanan yang siap masukkan kedalam loyang yang dah digris dan dialas baking paper.
▶️ Bakar sushu 180c selama lebih kurang 1 1/2 jam. Ikut pada oven masing-masing.
▶️ Apabila siap dibakar boleh letak majerin atau butter dan sapu seluruh permukaan bengkang supaya berkilat dan cantik.
▶️ Bila sudah sejuk boleh keluarkan pada loyang dan potong untuk dinikmati.
BACA JUGA : Resepi Daging Masak Lada Hitam Puaka, Cara Masak Daging Sehingga Lembut Tanpa Perlu Direbus Terlebih Dahulu!
Mungkin ramai orang sekarang tidak pernah kenal kuih ini, tapi serius cakap kuih ni sangat sedap. Rasa teksturnya agak lain sedikit disebabkan tidak menggunakan sebarang campuran tepung didalamnya, betul-betul rasa lemak manis santan dan ubi kayu.
Kuih ini agak lembut dan lembab bila dimakan, memang sesuai untuk hidangan minum petang dan sarapan pagi. Biasanya bila menggunakan parutan ubi kayu akan diperah airnya sehingga keluar, tapi resepi ini tidak perlu untuk memerah airnya dan menggunakan semua sekali.
Resepi bengkang ubi kayu ini sangat mudah untuk dibuat, walaupun kuih ini kuih traditional melayu tapi tetap ada peminatnya sehingga sekarang. Sebenarnya resepi kuih traditional mudah untuk dibuat kerana bahan-bahan yang digunakan tidak banyak, jadi mudah untuk mencubanya!