Kuih buger Malaysia atau nama lain pau goreng sambal bilis adalah kuih pau yang digoreng dan diletakkan sambal ikan bilis ditengah-tengah kuih. Resepi Buger Malaysia senang untuk dibuat dan sedap dimakan untuk sarapan.
Adunan untuk buat buger Malaysia tidak renyah pun, sebab adunan yang sama untuk membuat donut cuma tidak terlalu lembut seperti donut. Untuk mendapatkan tekstur buger yang lembut doh perlu diuli sehingga masak.
Doh yang masak akan menghasilkan kuih yang lembut apabila digoreng. Macam mana nak uli sampai masak tu? Kalau uli pakai tangan doh kena uli sampailah betul lembut mengambil masa dalam setengah jam jugak.
Sambal untuk buger Malaysia, ibu-ibu boleh buat awal sehari supaya tidak kelam kabut untuk buat esoknya. Sambal yang digunakan sama sahaja dengan sambal nasi lemak.
Jadi kalau ada lebihan sambal nasi lemak bolehlah simpan, dan untuk dimakan dengan buger Malaysia. Resepi buger Malaysia ini dikongsi oleh Zurina Kifli difacebook.
RESEPI BUGER MALAYSIA
Buger Malaysia biasanya ada banyak versi sambal, ada yang dimakan dengan sambal koaong, sambal ikan bilis yang dimasak sekali, atau sambal ikan bilis yang digoreng asing. Jadi cara macam mana pun sambal tu akan mengikut citarasa si pemakan, yang penting enak.
Bahan-bahan yang diperlukan :
Sukatan cawan minum teh 200ml
Perapan Yis :
- 1 1/2 cawan air letak dalam gelas besar atau mangkuk
- 2 sudu makan gula pasir
- 1 1/2 sudu makan yis Mauripan
- 1 biji kuning telur, kacau- kacau sebati
CARA-CARA PERAPAN YIS
▶️ Satukan air suam dan gula, kacau hingga gula larut.
▶️ Kemudian masukkan yis kacau sekejap dan biarkan 15 minit. Dah berbuih campurkan telur dan kacau sebati.
Bahan-bahan untuk doh :
- 5 cawan tepung gandum*
- 1 sudu teh garam halus*
- 3 sudu makan susu tepung Nespray*
- 1 sudu teh baking powder*
- 1 sudu teh Bread Softener
- 2 sudu makan shortening + 2 sudu makan marjerin ( boleh letak 3 sudu makan marjerin ).
CARA-CARA PENYEDIAAN DOH BUGER MALAYSIA
▶️ Mula-mula ayakkan kesemua bahan bertanda * kedalam mangkuk besar atau talam besar.
▶️ Sediakan sedikit air biasa jika perlu.
▶️ Selepas itu, tuangkan kesemua perapan yis kedalam tepung, gaul sebati.
▶️ Tambah sedikit air jika doh terlalu keras. Masukkan shortening, marjerin dan uli hingga bersatu dan sebati dengan tepung.
▶️ Terus uli hingga doh yang melekit bertukar menjadi licin selama setengah jam.
▶️ Kemudian, tutup bekas doh dengan tudungnya atau plastik, perap 1 jam hingga naik 3 x ganda.
▶️ Apabila doh dah kembang, tekan-tekan buang angin dan uli sekejap.Terus boleh bentukkan bulat-bulat dan leper sedikit.
▶️ Rehatkan doh atas tempat yang ditabur tepung anggaran 20 minit hingga setengah jam.
▶️ Jangan over kembang tau, nanti doh mengecut lembik dan x cantik bila digoreng.
▶️ Panaskan minyak dan goreng doh tadi dengan api yang sederhana.
Bahan-bahan untuk sambal bilis :
- 3 genggam ikan bilis
- 1 labu bawang besar (hiris bulat)
- Gula secukup rasa
- Garam sedikit
- 1 sudu makan serbuk Hilal
- Sedikit air asam jawa
- 1 sudu makan kicap lemak manis
Bahan kisar :
- 20 tangkai cili kering (ikut pedas)
- Segenggam ikan bilis siap dibasuh bersih
- 2 ulas bawang putih
- 1 labu bawang besar dihiris kasar
- 3 biji bawang merah dibelah 4
- 3 sudu makan minyak masak dan air secukupnya
- Satukan semua bahan dan blend halus.
CARA-CARA PENYEDIAAN SAMBAL BILIS
▶️ Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bilis yang 3 genggam tadi. Kacau2 hingga naik bau.Tak perlu garing.
▶️ Masukkan bahan blend,masukkan sedikit air kedalam jag blender dan tuangkan air cili kedalam kuali tadi.Masukkan kicap dan gula dan kacau sebati,biar mendidih.
▶️ Kacau hingga kering dan nampak pecah minyak, jangan tinggal dan mesti kacau selalu.
▶️ Bila sambal dah kering masukkan sedikit air lagi. Kacau dan bila dah mendidih semula masukkan garam,air asam, Hilal dan bawang besar.
BACA JUGA : Resepi Ikan Bawal Masak Sambal. Hidangan Makan Tengahari Yang Enak Dan Sangat Menyelerakan!
Buger Malaysia ni memang kesukaan anak-anak, kalau buat pasti tak cukup. Bila nak hidang buger Malaysia belah ditengah pau goreng tu dan masukan sambal serta timun atau salad.
Sambal yang sedap amat penting ye, barulah buger Malaysia kita sedap bila dimakan. Sambal mesti secukup rasa pedas, masin dan manis. Kalau sambal tak rasa manis sikit-sikit memang kurang mantop la.
Resepi buger Malaysia agak mudah dibuat, lebih-lebih lagi kalau dah ada sambal bilis lebihan buat nasi lemak, cuma perlu buat doh dan goreng sahaja. Selamat mencuba!