Resepi Kek Batik Biskut Marie Yang Tersangat Mudah Dibuat. Kek Yang Digilai Ramai, Makan Tanpa Jemu!
Nak buat kek bukan la senang, banyak teknik kena tahu supaya kek tidak mendap atau tak menjadi nanti. Ada je kek yang mudah dibuat, iaitu kek batik, tak perlu nak risau pasal teknik bagai. Kali ini kami nak kongsikan Resepi Kek Batik Biskut Marie, yang mudah sangat untuk dibuat.
Kek batik ni salah satu kek yang tersangat senang untuk dibuat dan tidak perlu risau pasal kek tidak gebu atau naik dengan elok. Kek ini tidak menggunakan tepung, dan hanya menggunakan biskut marie sahaja.
Kalau zaman kanak-kanak dulu kek ni menjadi rebutan setiap kali mak buat. Sebab sangat sedap dengan rasa penuh coklat dan crunchy dari biskut. Dulu nak buat kek batik hanya pakai Milo sebagai penganti coklat, itu pun sudah sudah sedap sangat.
Kek ini hanya perlu dimasak atas kuali dan tidak perlu dibakar atau dikukus untuk masak, kerana hanya perlu cairkan coklat dan bahan lain sahaja untuk disalut pada biskut merie dan terus masukkan ke dalam peti ais bagi coklat mengeras.
Resepi kek batik ini telah dikongsi oleh Nor Erma Nazlin, perkongsian resepi yang sangat mudah dan sedap dapat memberi idea kepada ibu-ibu untuk menyediakan snek untuk anak-anak nanti.
RESEPI KEK BATIK BISKUT MARIE
Kek batik ini bukan sahaja sedap dihidangkan sebagai minum petang, malah sesuai juga untuk dijadikan kek birthday. Rasanya buat kek batik sebagai kek birthday lagi anak-anak seronok makan sebab tak muak dan rasa yang mewah dengan coklat.
Bahan-bahan yang diperlukan :
- 3 bungkus biskut Marie ( dipatahkan )
- 1 cawan butter atau marjerin pelangi
- 1 tin susu pekat Manis
- 1/2 tin susu cair
- Esen vanilla
- 1 biji telur
- 1 cawan Milo
- 2 sudu pati coklat
- Cornflakes
- Badan
- Gajus
Bahan-bahan untuk topping :
- Almond
- Coklat Cadbury
- Coklat bar dark milk
CARA-CARA PENYEDIAAN KEK BATIK BISKUT MARIE
▶️ Mula-mula cairkan butter didalam kuali, setelah butter cair masukkan susu pekat dan cair. Kacau sebati.
▶️ Selepas itu, masukkan Milo, pati coklat, dan esen vanila. Kacau sehingga mendidih dan pekat.
▶️ Apabila sudah pekat, tutup api sekejap dan masukkan telur. Kacau jangan berhenti supaya telur tidak berketul.
▶️ Buka api balik dan masukkan biskut Marie yang sudah dipatahkan. Kacau sehingga tersalut semua. Masukkan kacang gajus dan badan.
▶️ Akhir sekali baru masukkan cornflakes.Apabila dah siap, boleh masukkan kedalam bekas yang dialas dengan plastik atau baking paper, dan tekan menggunakan gelas sehingga biskut tadi menjadi manpat dan rata.
▶️ Siap masukkan ke dalam peti ais untuk disejukkan.
▶️ Untuk membuat topping coklat cairkan coklat bar cadbury dan dark milk. Kemudian, masukkan almond kedalam coklat cair tadi.
▶️ Curahkan coklat cair tadi ke atas kek batik dan masukkan ke dalam peti, tunggu sehingga coklat keras. Baru boleh dipotong.
BACA JUGA : Resepi Gulai Ayam Kampung Yang Mudah Dan Sedap. Rasa Yang Marvolus Membuatkan Makan Nasi Bertambah-Tambah!
Dah keras coklat tu baru boleh potong. Nak potong kek batik ni ada cara ye, nanti berlubang pulak bekas tu. Caranya kena angkat dahulu kek tu, sebab itu perlu dialas supaya senang untuk diangkat.
Kek batik ni ada yang suka makan yang lembut, dan ada yang suka makan yang keras. Kalau nak yang lembut supaya mudah untuk dipotong, pastikan coklat tidak terlalu pekat semasa masukkan biskut dan kacau sedikit lama sehingga biskut agak lembut.
Nak hasilkan sebiji kek batik biskut marie ni tidak memakan masa yang lama, sebab terlalu senang untuk dibuat. Kek ini sedap bila dimakan ketika sejuk dan kek ini boleh tahan lama walaupun tidak disimpan didalam peti ais. Jangan lupa mencuba!