Daging masak hitam ini sangat sedap, biasanya akan dihidangkan pada hari kenduri atau hari raya. Untuk Resepi Daging Masak Hitam hanya menggunakan bahan-bahan biasa yang ada dirumah sahaja.
Ada pelbagai jenis hidangan menggunakan daging kita boleh masak. Ada yang suka digoreng, dibakar, dimasak kari, gulai, atau dibuat sup. Apa-apa masakan tetap akan sedap jika pandai mengolahnya.
Masakan ini walaupun berwarna hitam tapi sebenarnya tidak menggunakan kicap. Warna hitam tu datang dari pes daging masak hitam. Semuanya menggunakan bahan yang digoreng dan dikisar.
Daging masak hitam sedap dimakan dengan nasi putih, nasi minyak, nasi tomato, nasi beriani atau nasi yang serupa dengannya. Biasanya gadingan lauk lain ialah ayam masak merah yang dimakan dengan nasi tersebut.
Hidangan ini memang diminati ramai, kerana keenakannya. Resepi ini telah dikongsi oleh saudara Mizie Ahmad yang telah dikongsi difacebook, resepi ini ialah resepi turun temurun daripada ibunya.
RESEPI DAGING MASAK HITAM
Dalam resepi ini menggunakan bahan yang banyak kerana kuantiti yang dimasak adalah banyak, jika ingin masak dalam kuantiti yang sedikit boleh kurangkan kuantiti bahan yang digunakan.
Bahan-bahan yang diperlukan :
Bahan A:
- Daging – 1 kg
- Limpa – 1 kg
- Hati – 1 kg
*Semua dipotong kecil, dibasuh bersih dan ditoskan airnya.
(Boleh guna semua daging atau sebaliknya. ikut citarasa masing-masing)
Bahan B:
- 1kg bawang kecil (diricik nipis)
- 1 labu bawang putih (diricik nipis)
- 1 inci halia (diricik nipis)
- 250g cili kering (ikut rasa kepedasan)
- 1 senduk jintan manis biji
Bahan C:
- 2 batang kulit kayu manis
- 5 kuntum bunga lawang
- 2 biji buah pelaga
- 5 kuntum bunga cengkih
- 2 kiub daging
- 3 atau 4 senduk gula merah
- 1 senduk gula putih
- Asam jawa – secukup rasa
- Garam dan perasa – secukup rasa
CARA-CARA PENYEDIAAN DAGING MASAK HITAM
▶️ Potong dan bersihkan bahan-bahan A. Toskan airnya.
▶️ Goreng bahan-bahan B secara berasingan sehingga garing. Kawal api supaya bahan gorengan tidak hangit. ini akan menjejaskan rasa kerana akan memberi sedikit rasa pahit.
▶️ Selepas itu, kisar semua bahan-bahan yang digoreng tadi. Pastikan guna minyak gorengan tadi. Jangan sesekali guna air untuk memesin bahan B kerana ini akan membuatkan warna masakan kurang menarik (tidak hitam).
▶️ Perap bahan kisar bersama daging buat seketika.
▶️ Kemudian, tumis 4 sekawan dengan sedikit minyak sehingga naik bau.
▶️ Masukkan daging yang diperap tadi dan masakkan sehingga kering.
▶️ Seterusnya masukkan kiub daging.
▶️ Masukkan gula merah dan gula putih. Kemudian masukkan air asam jawa.
▶️ Perasakan dengan garam dan perasa secukupnya
▶️ Masak sehingga empuk. Sedia untuk dihidang di hari raya bersama ketupat dan lemang. Sedap dicampur dengan kuah lodeh atau makan begitu sahaja.
BACA JUGA : Resepi Ikan Keli Berlada Yang Mudah Dibuat, Sedap Dimakan Dengan Rasa Pedas-Pedas Manja Sambalnya!
Daging masak hitam bila digaul dengan nasi panas-panas memang sedap betul. Rempah yang tersalut pada daging secukup rasa sehingga tak perlu kuah yang banyak untuk makan dengan nasi.
Perlu buang lebihan minyak setelah daging siap dimasak. Untuk memasak hidangan ini memerlukan minyak yang cukup supaya bahan-bahan yang dimasak akan masak dengan sempurna.
Nak makan daging masak hitam kali ni tak perlu tunggu kenduri, boleh masak sendiri lagi sedap sebab boleh ikut citarasa kita bila memasaknya. Tak tahu nak masak macam mana boleh cuba resepi daging masak hitam ini.