Resepi Tauhu Bergedil Dengan Sambal Padu Yang Disukai Ramai, Lebih Jimat Kalau Buat Sendiri!
Tauhu bergedil makanan yang pernah viral satu ketika dahulu, dibuat daripada tauhu kering dan inti daripada ubi kentang masih menjadi kegemaran ramai. Resepi Tauhu Bergedil ini sangat mudah dibuat sebenarnya.
Kesedapan tauhu bergedil bergantung pada kesedapan inti dan sambal kicap. Intinya perlu mempunyai cukup semua rasa dan teksturnya perlu sempurna. Oleh kerana intinya dibuat daripada ubi kentang jadi rasanya agak plain jika tidak membuatnya secukup rasa.
Sambal kicap pula mestilah padu dan pekat, setiap kali dicicah sambal akan melekat elok pada permukaan tauhu. Sambal kicap juga perlu pedas, kalau boleh sepedas-pedasnya barulah kick!
Tauhu yang digunakan bukan tauhu lembut ye, tapi tauhu kering atau tauhu lampung. Tauhu kering ialah tauhu yang sudah digoreng sehingga didalamnya mempunyai rongga udara, jadi tauhu seperti ini memang sesuai untuk dibuat bergedil.
Tauhu bergedil masih lagi ada peminatnya, sebab rasanya yang enak garing diluar dan lembut didalam. Menerusi perkongsian daripada Nur Masri di facebook, resepi ini mudah dan sangat sedap.
RESEPI TAUHU BETGEDIL
Tauhu kering kalau dahulu susah untuk mencari yang buatan Muslim, kerana tauhu ini banyak dimakan oleh orang cina. Tapi sekarang sudah banyak usahawan muslim mengeluarkan produk tauhu Kering ini.
Bahan-bahan yang diperlukan :
Bahan untuk tauhu bergedil :
- Tauhu kering atau tauhu lampung
- Ubi kentang
- Daging atau ayam kisar
- Bawang goreng (optional)
- Daun sup (hiris halus)
- Maggi cukup rasa
- Garam
- Serbuk lada sulah
- Serbuk lada hitam
- Telur
CARA-CARA PENYEDIAAN TAUHU BERGEDIL
▶️ Potong kentang kemudian goreng atau rebus. Kalau nak digoreng pastikan kentang dipotong kecil-kecil.
▶️ Selepas itu goreng daging atau ayam sampai air kering.
▶️ Lenyekkan kentang sampai lumat dan lembut.
▶️ Kemudian campurkan semua bahan di atas kecuali tauhu dan telur.
▶️ Perasakan ikut kesesuaian dan gaul sebati.
▶️ Gunting tauhu bentuk X pada satu permukaan. Boleh buang isi tauhu Dan masukkan dalam inti kentang.
▶️ Masukkan inti bergedil yang dah siap ke dalam kulit tauhu sehingga penuh.
▶️ Seterusnya, pukul telur dan celupkan tauhu.
▶️ Goreng beberapa minit hingga salutan telur itu garing.
Bahan-bahan sambal kicap :
- 20 tangkai cili padi
- 5 ulas bawang putih
- Gula
- Kicap
- Perahan limau nipis
CARA-CARA PENYEDIAAN SAMBAL KICAP
▶️ Goreng cili padi dan bawang putih dengan sedikit minyak hingga layu.
▶️ Seterusnya, blender semua bahan tadi, jangan letak banyak air atau boleh terus masukkan kicap.
▶️ Perasakan ikut kepedasan dan kemanisan yang disukai.
Bahan-bahan sambal cili merah :
- 6 biji cili merah
- 3 ulas bawang putih
- Garam
- Gula
- Cuka
CARA-CARA PENYEDIAAN SAMBAL CILI MERAH
▶️ Blend cili merah dan bawang putih.
▶️ Kemudian, masak sekejap diatas api.
▶️ Perasakan dengan garam gula dan cuka. Biar kuah pekat dan manis.
BACA JUGA : Resepi Mee Kari Yang Sedap Secukup Rasa, Gerenti Tak Cukup Makan Semangkuk!
Hidangan ini memang sedap dan sesuai dinikmati pada bila-bila masa. Makan seketul pun dah kenyang sebab intinya dibuat dari ubi kentang. Dapat pula cicah dengan sambal kicap dan sambal cili merah memang kicklah!
Inti kalau nak sedap perlu lebihkan daging atau ayam didalamnya, supaya setiap gigitan akan terasa cebisan daging tersebut. Kalau ingin tukarkan daging kisar kepada daging burger boleh juga, daging burger lagi sedap kerana sudah rasa rempahnya.
Tauhu bergedil kalau nak beli agak mahal, tapi bila dibuat sendiri lebih jimat dan sedap. Kuantiti pun boleh dapat lebih banyak, jadi agak berbaloi untuk dibuat. Resepi tauhu bergedil yang wajib dicuba!