Kuih masalodeh atau nama lain kuih vadai sangat terkenal dalam kalangan orang india. Tapi sekarang turut digemari oleh semua warganegara. Kuih Masalodeh ini kalau dibuat untuk minum petang bersama keluarga memang sedap.
Masalodeh ni sejenis kuih makanan India, dibuat dari kacang dhal yang direndam semalaman. Terdapat juga hirisan cili, bawang merah dan daun kari. Kuih ini perlu digoreng dalam minyak yang banyak sehingga garing.
Kuih ini memang sedap, ranggup diluar dan lembut didalam. Setiap gigitan akan rasa kesedapan kacang dhal yang digoreng garing, kadang akan terasa pedas apabila tergigit cili didalamnya.
Kuih ini bukan sahaja masyarakat india yang mengemarinya, malah orang kita pun sudah terbiasa makan kuih ini untuk sarapan atau minum petang. Bagi pengemar kuih yang rasa berempah dan pedas pasti akan menyukainya.
Resepi kuih ini telah dikongsi oleh Seri Ramlan di facebooknya, kalau tengok pada kuih ni nampak macam susah untuk dibuat, tapi sebenarnya agak mudah untuk dibuat. Mungkin untuk yang tidak biasa masak kuih ini akan agak sukar sedikit semasa ingin mengorengnya.
RESEPI KUIH MASALODEH
Kuih masalodeh sedap dimakan semasa panas-panas, kuih ini teksturnya garing diluar dan lembut didalam. Bagi mendapatkan kuih yang garing boleh nipiskan sedikit ketebalan kuih sebelum digoreng dan mesti goreng dengan minyak yang banyak.
Bahan-bahan yang diperlukan :
- 1/2 kg kacang dhal ( direndam 2 jam atau semalaman )
- 4 batang cili merah ( dihiris )
- 4 batang cili hijau ( dihiris )
- 2 ulas bawang merah ( dihiris )
- 1/2 sudu makan garam
- 2 sudu makan ajinamoto
CARA-CARA PENYEDIAAN KUIH MASALODEH
▶️ Mula-mula kisar kacang dhal yang dah direndam dengan air yang sama paras dengan kacang dhal. Kisar sekejap dan tidak perlu terlalu halus. kemudian, tapiskan.
▶️ Tinggalkan segengam kacang dhal yang tidak dikisar untuk dicampur dengan kacang dhal yang dikisar.
▶️ Selepas itu, masukkan bahan yang dihiris kedalam kacang dhal tadi.
▶️ Kemudian, perasakan dengan garam dan ajinamoto. gaul sebati.
▶️ Panaskan minyak untuk mengoreng, pastikan minyak tidak terlalu sedikit kerana kuih perlu tengelam semasa mengoreng.
▶️ Pastikan api tidak terlalu kuat, untuk elakkan adunan pecah ketika mengoreng.
▶️ Adunan perlu dibentuk dengan menggunakan plastik supaya tidak melekat ditangan dan pecah sebelum dimasukkan kedalam kuali.
▶️ Adunan yang digoreng perlu dibiarkan kekuningan terlebih dahulu baru boleh dibalikan supaya tidak pecah ketika dibalikan.
▶️ Biarkan kuning sekata baru dibalikan.
Puas hati bila dapat hasil selepas mengoreng kuih masalodeh ni, sebab betul-betul kena berhati-hati ketika mengoreng supaya tidak pecah dan hancur. Memang memerlukan teknik sedikit untuk memasak kuih ini.
Kalau nak lagi sedap, boleh tambahkan daun kari dan jintan putih didalam adunan kuih. Daun kari dan jintan putih boleh menambahkan lagi rasa dan aroma yang sedap pada kuih. Cili juga boleh ditukar kepada cili kering jika tiada cili hijau atau merah.
Walaupun kuih ini daripada hidangan orang india, tapi rasanya sangat sedap sekali dan bahan yang digunakan juga daripada bahan yang halal. Bila buat sendiri pasti akan lebih sedap sebab bahan yang kita gunakan akan memenuhi citarasa kita. Boleh follow resepi kuih masalodeh ini untuk dicuba!