Resepi Kuih Koleh Kacang Pandan, Enak Rasanya Walaupun Tidak Menggunakan Gula Melaka!
Kalau sebut kuih koleh kacang pasti dah terbayang kuih yang berwarna coklat dan diatasnya pula ditaburkan dengan tahi minyak. Tapi kali ini resepi yang kami ingin kongsikan ialah Resepi Koleh Kacang Pandan.
Kuih ini diperbuat dengan tepung kacang hijau dan santan untuk menghasilkannya. Tepung kacang hijau boleh dibuat sendiri dengan kisar kering kacang hijau sehingga halus. Kuih ini merupakan kuih traditional yang enak, biasanya kuih ini adalah kegemaran orang tua-tua.
Nampak seperti kuih talam tapi berbeza kerana penggunaan tepung kacang hijau dan juga ada dihiasi dengan tahi minyak. Pasti ada yang tidak tahu tahi minyak itu apa? Tahi minyak ialah santan yang dimasak sehingga pecah minyak dan menjadi ketulan-ketulan kecil.
Kebiasaannya kuih koleh kacang ini akan dimasak menggunakan gula melaka untuk mendapatkan warna kuih kecoklatan, tapi untuk resepi kali ini tidak menggunakan gula melaka malah ditukar menggunakan pati pandan.
Cara untuk membuatnya agak mudah, cuma perlu memasak tahi minyak terlebih dahulu sebelum membancuh adunan kuih. Resepi koleh kacang pandan ini dari perkongsian Novelis Afieyza Isahak.
RESEPI KOLEH KACANG PANDAN
Biasanya kuih traditional yang dibuat perlu dibakar atau dikukus terlebih dahulu untuk dimasak. Tapi berbeza dengan kuih ini dengan hanya memasak adunan didalam kuali dan sejukkan didalam bekas sahaja.
Bahan-bahan yang diperlukan :
Bahan untuk tahi minyak :
- 1 cawan santan pekat
CARA-CARA PENYEDIAAN TAHI MINYAK
▶️ Masak santan sehingga pecah minyak dan ia menjadi tahi minyak dengan menggunakan api perlahan.
▶️ Minyak dia asingkan selepas masak. Nanti akan diguna.
Bahan adunan :
- 1 cawan tepung kacang hijau
- 2 cawan santan
- 3/4 cawan gula putih
- 2 cawan air + daun pandan (Kisar dan tapis air)
- Secubit garam
CARA-CARA PENYEDIAAN KOLEH KACANG PANDAN
▶️ Mula-mula masak air dan pandan bersama gula sehingga larut.
▶️ Masukkan tepung kacang hijau dan santan ke dalam bekas. Kacau rata kemudian masukkan garam dan air gula pandan.
▶️ Selepas itu, tuang ke dalam kuali atau periuk yang dituang minyak tahi minyak tadi. Sentiasa kacau untuk elak ia berketul. Kacau sehingga menjadi pekat dan berkilat.
▶️ Tuang dalam bekas atau loyang, ratakan kemudian tabur tahi minyak dan renjis baki minyak ke atasnya. Biarkan sehingga sejuk baru dipotong.
BACA JUGA : Resepi Ayam Bakar Madu Yang Simple, Rasa Enaknya Seperti Beli Dipasar Malam!
Kali ini kuih koleh dibuat dengan rasa pandan, mungkin tidak ramai yang pernah merasainya tapi, rasanya sangat sedap sekali. Rasa yang lemak manis ditambah pula dengan wangi bau tahi minyak.
Kuih ini memang sesuai jika dijadikan santapan minum petang, tambah-tambah pula jika ada orang tua sekali pasti mereka sukakan hidangan ini. Kuih yang lembut, rasa lemak manis santan yang cukup rasa lemaknya.
Agak senang sebenarnya untuk menyediakan resepi koleh kacang pandan ini. Mungkin ada yang belum pernah merasanya dan yang ingin mencuba resepi koleh kacang pandan ini boleh try resepi ini!