Resepi Bihun Goreng Singapore. Resepi Yang Mudah Dan Lazat!
Pernah makan bihun goreng Singapore ni? Warnanya putih sebab tidak letak apa-apa sambal, cili sos atau kicap. Resepi Bihun Goreng Singapore ni sedap dan sangat mudah untuk dibuat.
Bihun goreng Singapore ni sesuai untuk dibuat semasa sarapan atau untuk majlis makan-makan sebab nak buat bihun goreng Singapore ni tersangatlah senang, tak perlu nak letak cili kering atau kicap pun.
Resepi bihun goreng Singapore ini telah dikongsi oleh Alia Atikah, resepi dari bondanya yang diguna apabila mendapat tempahan bihun goreng Singapore.
Kalau tengok bahan-bahan yang diperlukan pun tidak begitu banyak, yang penting dalam memasak bihun goreng Singapore ni kena guna banyak bawang putih. Bawang putih bila ditumis baunya sangatlah harum.
Asyik masak bihun biasa je untuk sarapan, apa kata kali ini ibu-ibu cuba pula resepi bihun goreng Singapore ni. Pasti anak-anak tak bosan bila hidangan selalu bertukar setiap hari.
RESEPI BIHUN GORENG SINGAPORE
Bagi ibu-ibu yang tidak mahu terlalu pedas dalam bihun goreng Singapore, bolehlah kurangkan cili padi atau serbuk lada hitam semasa mengoreng bihun Singapore ini.
Bahan-bahan yang diperlukan :
- 1 bungkus bihun ( direndam )
- 4 biji telur ( goreng hancur )
- 10 ulas bawang putih
- 15 biji cili padi ( kisar sekali dengan bawang putih )
- 2 batang carot ( potong memanjang )
- Isi ayam ( potong dadu )
- 5 sudu besar sos tiram
- 2 kiub ayam Maggie
- Sedikit garam ( secukup rasa )
- 2 sudu besar gula
- 3 sudu besar serbuk lada hitam
CARA-CARA PENYEDIAAN BIHUN GORENG SINGAPORE :
▶️ Mula-mula goreng telur sehingga hancur dahulu dan ketepikan.
▶️ Kisar bawang putih dan cili padi.
▶️ Selepas itu, tumis bahan kisar tadi sehingga naik bau.
▶️ Masukkan ayam dan carot, masak sehingga ayam masak dan carot lembut.
▶️ Seterusnya, masukkan sos tiram,kiub ayam, garam, gula dan serbuk lada hitam.
▶️ Jika rasa sudah secukup rasa masukkan bihun. Kacau sehingga sebati.
▶️ Kemudian masukkan telur hancur tadi apabila bihun sudah lembut.
▶️ Kacau sebati dan siap, tutup api.
BACA JUGA : Resepi Ayam Goreng Tomyam Pedas. Yang Mudah Dan Mengiurkan!
Walaupun warnanya bihun goreng Singapore agak pucat tapi rasanya sangat sedap, makan pula dengan cili kicap sebagai pelengkap. Bihun goreng singpore boleh sahaja kalau ibu-ibu nak masukan seafood seperti udang dan sotong, lagi sedap rasanya.
Bihun goreng Singapore satu hidangan pantas dan mudah untuk dibuat jika ada tetamu datang secara tiba-tiba. Resepi ini dapat menyelamatkan ibu-ibu jika tiada apa untuk dihidangkan.
Tanpa membuang masa, ibu-ibu sudah boleh siap satu hidangan yang lazat. Resepi yang senang ini sesuai untuk ibu-ibu yang sibuk, bolehlah ibu-ibu mencuba buat bihun goreng singapore ni nanti. Selamat mencuba!